Thursday, June 25, 2009

Islam Mengangkat Darjat Wanita


Sering terdapat gambaran serong di media Barat bahawa wanita tidak mendapat haknya dalam Islam.

Mereka menyebar maklumat dan mendakwa bahawa wanita Islam hidup tertindas dan tidak boleh hidup setaraf kaum lelaki.

Namun, hakikatnya berbeza setelah dikaji.

Sebagaimana kita maklum bahawa Islamlah yang telah mengangkat darjat wanita yang hidup terkutuk dalam zaman jahiliah.

Rasulullah Sallallahu Alayhi Wa Sallam sering menyeru kaum wanita agar menuntut ilmu dan berlumba-lumba dengan kaum lelaki dalam menghafaz Al-Qur’an, meriwayatkan hadeeths serta memahami hukum-hukum fiqah.

Sejak muncul Islam, wanita Arab mula berasa mempunyai harga diri dan dapat hidup selesa di kalangan masyarakatnya.

Mereka sedar diri mereka tidak lagi hidup di bawah telunjuk lelaki atau hanya menjalankan tugas di dapur, mencuci pakaian dan menjaga anak-anak.

Kaum wanita tidak lagi dianggap negatif baik dari segi ibadat mahupun kedudukan. Tugasnya bukan setakat melayan lelaki, malah berhak mendapatkan bahagian dalam bidang pelajaran dan segala hak yang dikuasai kaum lelaki tanpa halangan.

Kaum wanita Arab meminta izin Rasulullah Sallallahu Alayhi Wa Sallam untuk mendapatkan ilmu seperti yang dinikmati kaum lelaki.

Seorang wanita telah menemui Baginda dan berkata:

Kami ingin mencontohimu wahai Rasulullah. Maka berikanlah kami sehari daripada masamu agar kami dapat datang mempelajari daripadamu apa yang kamu pelajari daripada ALLAH.

Lantas Baginda menyuruh mengumpulkan kaum wanita pada masa dan tempat yang ditetapkan. Daripada situlah bermulanya majlis ilmiah untuk kaum wanita yang dipimpin Baginda.

Mereka amat menjaga masa menghadiri ‘kelas’ Rasulullah Sallallahu Alayhi Wa Sallam. Malah, mereka berlumba-lumba dalam memahami hakikat Islam sebenarnya. Mereka gigih dan tekun mendalami ilmu agama.

Rasulullah Sallallahu Alayhi Wa Sallam sering memberikan fatwa kepada mereka dalam segala hal hinggalah mereka memahaminya.

Ramai wanita yang tamat pengajiannya daripada ‘madrasah nabi’ itu.

Masyarakat buta huruf yang mendapat ilmu pengetahuan daripada Baginda bertukar menjadi bijak.

Rasulullah Sallallahu Alayhi Wa Sallam bukan sahaja menyampaikan ilmunya kepada kaum wanita melalui pertemuan sahaja, malah juga di musala-musala tertentu dengan mengajar mereka beribadat dengan cara yang betul.

Tatkala Nabi Sallallahu Alayhi Wa Sallam mengahwini Hafsah binti Umar, isteri Baginda itu sering belajar membaca dan menulis daripada seorang wanita bernama El-Syaffa binti Abdullah El-Adawiyah.

Baginda telah meminta beliau mengajarkan Hafsah cara membaiki tulisan.

Inilah antara tanda yang membuktikan bahawa Rasulullah Sallallahu Alayhi Wa Sallam amat perihatin tentang pelajaran untuk kaum wanita.

Rasulullah Sallallahu Alayhi Wa Sallam juga pernah menggalakkan bakat dan kebolehan kaum wanita dibidang sastera.

Baginda pernah menguji kebolehan El-Fari’ah binti Abi El-Sult yang menyampaikan syair saudaranya, Umaiyah. Begitu juga dengan El-Khansaa.

Nabi Sallallahu Alayhi Wa Sallam juga menggalakkan kaum wanita mempelajari ilmu perubatan.

Seorang gadis, Rafidah, adalah wanita pertama dalam Islam yang mempelajari ilmu perubatan Islam. Beliau juga mengubati pesakit wanita dan mengajar para isteri sahabat mengenai perubatan.

Terdapat juga ramai wanita yang mempelajari ilmu perubatan di zaman Rasulullah Sallallahu Alayhi Wa Sallam. Mereka keluar bersama-sama para sahabat ke medan perang untuk merawat para pejuang yang cedera.

Credits to: Mohd Yusop Hassim